Rabu, 30 September 2009

MESYUARAT LAGI




Hari ini ada mesyuarat lagi. Mesyuarat untuk membincangkan rumah terbuka Bahagian bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri. Mesyuarat yang ini tidak membosankan sangatlah kot. Sebab bosses tidak turut serta. Aku agaknya ambil gambar saja lah. Tak apa aku memang suka ambil gambar. Sebab tu aku jarang-jarang ada dalam gambar. Yelah muka buruk, malas nak promosi banyak-banyak, buat cacat gambar saja.



AZAM BARU



Semalam aku nekad dalam hati tak mahu rekod kehadiran dicemari dengan mc dan lambat. Azam tu nampaknya aku kena anjakkan sedikit. Pagi tadi seperti biasa aku bangun jam 6.45 pagi dan siap mandi, solat subuh dan segala bagai. Tengah bersiap-siap hujan turun bukan main lebatnya. Aku mati kutu, lama jugak aku termenung depan tingkap. Kalau dulu pejabat dekat boleh juga hayun motor tu. Tapi sekarang pejabat dah jauh, takut juga aku nak bawak motor laju-laju. Kereta banyak dan pemandunya cukup tidak berhemah, macamlah dia sorang saja pembayar cukai jalan di Malaysia ni. Aku sampai pejabat jam 9.30 pagi lewat satu jam. Ishh teruk betul. Tapi tak apalah nak buat macam mana, daripada aku membahayakan diri untuk syarikat yang tak berapa nak menghargai diri aku ni lebih baik lah aku lambat. Ramai lagi orang yang sentiasa mengharapkan kesejahteraan dan keselamatan aku.




Bekalan air dirumah terputus bermula jam 7.00 petang semalam. Dianggarkan jam 10.00 malam nanti bekalan akan disambung semula. Aku lalu di Pekan Subang Perdana tadi, terdapat 3 atau 4 bantang paip terlentang di tepi jalan. Kontraktornya tiada di tapak, mungkin berteduh atau ke kedai kopi sementara hujan masih mencurah-curah. Aku telah menyimpan sedikit air dirumah untuk kegunaan dalam tempoh ketiadaan air ini. Rasanya cukuplah untuk menampung adik-adikku yang nak ke tempat kerja. Harap-harap janganlah ada yang nak berlazat-lazat di kamar mandi.

Selasa, 29 September 2009

MESYUARAT SECTION YANG MEMBOSANKAN


Pagi ini aku kena menghadiri mesyuarat section yang teramat membosankan. Kalaulah boss aku tu orang nya kelakar macam nabil atau hensome tahap brad pitt ok lah jugak. Mengantuk amat aku tadi, hampir-hampir terlelap. Cakap pun benda-benda yang yang formal saja. Aku menahan mata macam nak gila. 1 jam rasanya macam 5 jam pulak. Kawan-kawan yang lain pun dah macam batu saja aku tengok.

Jumaat nanti ada assembly dengan Dato' CEO. Aduhh menyampah betul aku.
Dalam diam aku rindu pada bendang di kampung. Ohh syahdunya

Isnin, 28 September 2009

MIMPI SEMALAM




Aku tak tahu kenapa dan mengapa. Semalam aku tidur mimpikan my ex- stupid and black boss & The geli-geli team. Tak pernah pulak terlintas dalam kepala aku ni untuk ingatkan mereka yang amat menyakitkan hati itu. Nak kata aku tidur tak basuh kaki, semalam sebelum tidur aku siap mandi sebelum isya dan lepas tu baru tidur. Huh musykil sungguh aku. Agaknya dorang teringatkan dosa-dosa dan salah yang pernah dilakukan keatas aku, ataupun dorang dah mula terima isyarat-isyarat kecil daripada malaikat maut yang seingat aku lah mendatangi kita sehari lebih 7 kali. Hahaha.



Aku amat-amat berharap janganlah dorang mencari aku lagi hendaknya. Aku tak tahu nak bereaksi macam mana. Menyusahkan saja.


SCOOTER KU SI NOUVO S





Sakit hati betul bila ada orang melanyak si scooter tahap tak hengat tapi bila meragam call aku untuk payment kat kedai motor, tak ke siot. Apalagi mengamuk sakan aku dibuatnya. Semalam aku jalan-jalan dengan scooter rasa lain macam saja. Ada bunyi-bunyian yang cukup tidak menyenangkan aroma telinga. Tambah benganglah aku. Dan semalam jugak aku sound kat pengguna-pengguna tegar tu. Pandai pulak masing-masing tarik muka.



Kalau harta kita memang si peminjam tak reti-reti nak jaga. Cuba harta dorang kita pinjam, tengok muka sekor-sekor cam babun saja. Hampehh

Sabtu, 26 September 2009

SELAMAT HARI RAYA 2009






Pejam celi-pejam celik dah berakhir Ramadhan yang mulia itu. Sedih pula rasanya. Yelah bulan yang lebih baik dari seribu bulan kan. Entah tahun depan dapat berjumpa lagi entah kan tidak. Aku harapkan aku akan berjumpa semula dengan Ramadhan 2010, dengan keluarga dan kawan-kawan yang aku ada sekarang.


Raya tahun ini sungguh haru biru. Aku kuatkan hati meniaga juga hingga hari Jumaat dan jam 2.00 pagi baru sampai kampung. Hajat nak meniaga hingga sabtu memang tak dapatlah, Mak aku asyik menelefon tanya bila nak balik. Mak tak ada orang yang tolong. huhuhu. Wiraku tak boleh bawak laju-laju, dia tengah sakit. Lepas syawal ini akan dihantar ke bengkel. Sampai rumah terus tidur. Bangun pagi segala macam benda nak buat. Mana nak kemas rumah, menyapu halaman yang luas tu, cincang daging dan ayam, anyam ketupat dan merebusnya, nak tolong emi meniaga lemang di depan simpang, basuh pulut dan perah santan kelapa dan segala macam lagilah. Aku tidak berbaju baru di pagi Syawal sebab tak sempat nak membeli. Tetapi aku berbaju baru di pagi raya kedua. Hahaha. Petang raya tu aku pusing pekan Tg. Malim yang lengang tu untuk cari baju. Manalah ada kedai yang bukak. Tup-tut terpandang kedai aci tepi traffic light depan bus stand, apalagi aku sambar kurta dengan harga RM40. Ok jerlah kan.


Raya kedua kami sekeluarga ke Sekincan menziarah Embah dan Wak di Sg Nibong. Sempat jugak aku merakam gambar di situ. Adik-adik ku cukup suka bergambar, Cuaca pun cantik dengan langit yang membiru.

ZIARAH KELUARGAKU DI KUBURAN

Selepas solat Jumaat semalam, aku, Abah, Emi, Lin, Wani dan Nurul meluangkan masa menziarah pusara orang-orang tersayang. Arwah Kakakku yang sulung, Atuk dan Nenek. Tiada siapa pun disitu selain kami. Sibuk sangat beraya hingga terlupa orang-orang yang telah jauh dengan kami. Menitik air mata mengenang setiap mereka. Saat-saat susah dan senang bersama satu ketika dahulu.



Air mata ku bagaikan hujan bila sampai ke pusara Nenek. Barisan mozek tidak tersusun dan tak sempat dilekatkan menambah sebak. Adik-beradik emak yang ramai tu tidak terpandang kah pusara yang tidak terurus itu ??? Paman Sarom tak sempat menyudahkan kerja memasang mozek itu selepas dihantar ke Pusat Serenti. Tapi adik-beradik lain ??? nampak sangat tiada siapa daripada adik-adik Emak yang menziarah pusara insan yang pernah melahirkan mereka itu. Rasa hormat aku pada mereka hilang sedikit demi sedikit. Janganlah hendaknya perkara ini berlaku kepada adik-adik ku nanti.


‘Oh alah Mak, Mak....’ suara keluhan Abah dalam loghat Jawanya cukup jelas dan menambah sebak di dada. Memang aku tak dapat melupakan detik-detik itu seribu tahun lagi... Rasa jengkel, marah dan benci pada mereka kian meluap-luap. Kalau bab duit peninggalan Embah bukan main lagi, pandai pulak berkira-kira terutama menantu yang perempuan. Cehhh

Selasa, 15 September 2009

PERCUTIAN KELUARGA 2009



Selepas Aidilfitri ini aku merancang untuk menaja percutian keluarga untuk tahun ini. Lokasi masih belum ditetapkan. Rasanya amatlah susah untuk merencana percutian bersama sekarang ini. Maklumlah masing-masing sudah berkerja. Kalau aku tanya kat Mak mestilah pilihannya Cameron Highland. Huhu. Adik-adik pula lebih berminat dengan pantai. Aku suka juga ke Cameron Highland sebab banyak gambar yang boleh aku rakamkan. Aku akan berusaha untuk menaja, walaubagaimanpun tajaan dari orang lain diperlukan juga. Haha. Keluarga besar tajaan pun besar, kalau aku sorang rasanya tak mampu betul aku ni.

Kali terakhir aku bercuti bersama keluarga pada tahun 2003 di Cameron Highland. Seronok memanglah seronok. Selain keluarga aku, keluarga angkat adik aku juga turut serta.

Kalau tak dapat bercuti jauh, berkelah ke Sg. Bil di Slim River pun ok jugak. Tak jauh sangat dari rumah. Sambil-sambil mandi, boleh jugak kami BBQ di situ. Rasanya ramai yang ambil cuti raya lama. Jadi Boleh lah kami merencana bermacam-macam.

Selain itu boleh jugak cuba mengintai-intai lokasi di Sg. Hj Dorani, Sg Besar. Hehehe Abah mesti gelak kalau aku cakap nak bermalam di sana. Baik tido di rumah Embah aje. Abah asal orang situ dan rumah Embah pun dekat-dekat situ sahaja. Teringat pulak aku masa zaman kecil bermain sawah. Dah comot-comot kena marah pulak. Tapi paling seronok dapat memancing haruan dan keli di parit. Tapi itu dulu lah, Embah aku pun dah berpindah rumah di tepi pantai. Tapak rumah sawah pun dah dikorek jadi sawah. Kalau kitaorang datang ke situ pun duduk bawah pokok pisang dan mangga sahaja.


BAZAR RAMADHAN

Nampaknya Anita Sujak Enterprise hanya akan beroperasi di Bazar Ramadhan Subang Perdana sehingga hari Rabu sahaja. Hati aku tak cukup kuat untuk membiarkan Mak kalut sendirian. Tak apalah duit bila-bila pun boleh cari, tapi saat-saat indah seperti ini bukan selalu kita dapat. Di tambah pula dengan keadaan Mak Abah yang selalu pitam-pitam, kalau boleh jam ini juga aku balik. Biarlah dorang gelakkan aku sebab aku berkobar-kobar bukan main hendak meniaga sampai akhir, tapi kecundang pulak. Semangat memang ada tapi….itulah dia aku. Cuba ingin menjadi seseorang yang pentingkan diri tapi selalunya tewas. Aku bukan seperti itu barangkali.

Isnin, 14 September 2009

KAKITANGAN AWAM DAN RM500

Kabarnya kakitangan awam akan menerima duit raya sebanyak RM500 untuk tahun ini. Walaubagaimanapun bayaran ini akan dapat dinikmati dalam bentuk 2 kali bayaran. Bersama berita itu juga bermakna tiada bonus untuk mereka di kala rakyat malaysia sedang berperang dengan kenaikan bahan mentah yang terlampau.

Agaknya pernah ke dorang semua yang di atas tu terfikir. Kalau lah dia menjadi kakitangan awam, boleh ke dia hidup dengan RM250 yang diludahkan MEREKA. Rakyat malaysia ni terlalu berpegang teguh dengan adat dan santunnya. Agaknya kesan mitos wa’adat diantara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba masih kuat menghantui setiap kita. Anak cucu Demang Lebar Daun (rakyat) akan sentiasa patuh kepada anak cucu Sang Sapurba (pemerintah). Maka bermewah-mewahlah si pemerintah sedangkan rakyatnya menangis malam dengan perut yang berkeroncong. Tak boleh kah sesekali kita yang ramai ini berpakat membantah dengan hormatnya pada keputusan-keputusan yang membunuh dalam senyap ini?. Tapi tak perlulah sampai mengheret lembu dan memijak kepalanya untuk menunjukkan tanda tidak puas hati kita tu.

Internet kat pejabat hanya boleh diakses 4 jam seminggu. Ada jugak server seperti itu dalam zaman dunia tanpa batas ni ya? Huh entahlah. Aku memang berminat untuk menulis hari-hari tapi itulah masalah aku.



CUTI HARI RAYA DAN SERBA SALAH


Aku bermula cuti pada 16 September hingga 26 September. Aku nak pulun niaga di bazar hingga puasa yang terakhir cadangnya. Lepas kemas-kemas barang nak konvoi balik kampung dengan adik-adik naik motor. Semalam aku tengok muka tua mak dalam kepenatan yang teramat. Order bahulu bukan main banyaknya. Siang hari dia membakar bahulu sendirian dan malam barulah ada pembantu. Keadaan rumah pula lintang pukang tidak berkemas. Bila aku cakap nak balik raya lambat, tiada reaksi di wajahnya. Alamak..
Tahun ini mak cakap nak sembelih ayam kampung di dalam reban tu. Maksud tersuratnya banyak kerja lah tu. Aku jadi serba salah. Antara Mak dan bazar. Tapi hati aku ni lebih kuat kepada mak dan fikiran aku asyik kepada bazar, nak cari duit lebih sikit baju raya pun aku belum beli lagi. Ishh.. Partner balik Gombak hari Khamis pagi, aku yang hantar sebab nak jumpa kawan baik aku yang paling kecil. Apalah ceritnya sekarang ini sejak dapat adik baru, Umar Imran.

Khamis, 10 September 2009

MOOD RAYA DAH TIBA.

Walaupun ketibaan Aidilfitri masih jauh, namun kemeriahannya mula dirasai. Tahun ini kebangkitan mood raya sedikit terbantut. Maklum sahajalah kegawatan ekonomi dunia yang masih terkesan hingga hari ini. Ditambah pula dengan kenaikan harga beberapa bahan keperluan asas yang seringkali menjerut tengkuk rakyat malaysia. Tidak kiralah PMnya bersilih ganti, dari Pak Kiai hinggalah ke Pak Yangtakbolehpakai ahakk. Seterusnya dengan merebaknya virus H1N1 hingga ke pendalaman-pendalaman, namun berjaya juga ditutup tahap kritikalnya oleh pihak-pihak tertentu dengan alasan tidak mahu rakyat jelata merasa panik. Semua itu sedikit mencalar keindahan Aidil fitri yang dijangka tiba pada 20 September ini.


Dari semalam aku menghitung saki baki ramadhan. Aku nekad pada tahun ini aku akan meniaga hingga ke saat berbuka puasa yang terakhir. Perniagaan lemang panas di kampung akan dipantau sepenuhnya oleh Kak Ila dan Abang Mie. Bukan senang nak jadi senang, dan bukan susah nak jadi susah beb!.

Tahun ini tiada peruntukan untuk bunga api raya dan mercun seperti tahun-tahun lepas. Wang raya untuk adik bongsu dan anak-anak saudara mungkin ada tetapi dalam nisbah yang kecil. Aku sudah bersiap sedia dengan menu-menu untuk tetamu dari hari raya pertama hinggalah hari raya ke 5. Menu ini aku senjaga fikirkan untuk mengelakkan dari pembaziran dan paling penting untuk mengelakkan tahap jemu pada daging dan ayam yang kronik. Aku dengan sukarela menawarkan diri untuk menjadi tukang masak sepanjang tempoh cuti perayaan ini.


SESI BERGAMBAR BERSAMA KELUARGA

Tahun ini, seperti tahun-tahun yang lalu, aku akan tetap merakamkan gambar kenangan suasana pagi Syawal di rumah Mak di Gedangsa. Setiap detik dan peristiwa amatlah berharga dan aku sedaya upaya cuba untuk merakamkannya. Termasuklah masa Ebi dan Maira bermain bungapi di halaman.

Cinta terhadap fotografi tetap membara walaupun ketiadaan Nikon D300 di sisi. Yelah D300 tu sekadar harta syarikat, mengapa pula nak bermegah-megah denganya. Cukuplah sekadar D70 si comel ini. Yang pasti ia adalah harta yang mutlak. Kerana aku bersusah payah untuk mendapatkannya. Pada pandangan akulah, dalam fotografi kecanggihan kamera hanya sekadar membantu mencantikkan dan memudahkan sesi penggambaran sahaja. Yang paling penting dan utama adalah orang yang berada di sebalik kamera itu. Ada satu OTAi di ASFONS hanya menggunakan Nikon D70 sejak menceburi bidang fotografi, tetapi satu dunia dia dah pergi. Satu hari nanti aku akan memiliki sendiri Nikon D300 beserta dengan lens-lens yang aku pernah pakai tu, AF 14-24 f2.8, AF 24-70 f2.8 dan 70 – 200 f 2.8.

Ada orang terlalu mencemburi aku kerana aku berjaya memiliki D300 ini dulu. Hinggalah dia menghasut ’the stupid boss’ maka bermacam-macam lah bala menimpa aku, hinggalah aku mendiami pojokan ini. Oh ya lupa pula aku, semua gambar-gambar yang aku siarkan di dalam blog ini adalah gambar yang aku ambil sendiri. Biarpun tak cantik tapi aku amat berbangga denganya.

Rabu, 9 September 2009

ZAKAT FITRAH TAHUN 2009.

Telah diwartakan seluruh Negara kenaikan zakat tahun ini adalah RM7.00. Aku sedikit pun tak terkejut dengan kenaikan itu. Apa nak dihairankan. Tahun 2009 adalah merupakan tahun kenaikan segala bagai keperluan hidup bersempena dengan naiknya pemimpin baru Malaysia. Apa nak hairan, Malaysia BOLEH!!!
 
Pengagihan zakat tahun ini telah pun bermula. Ada juga aku dengar suara-suara sumbang merunggut tak puas hati kerana dirinya tidak tersenarai. Yang peliknya, si perunggut itu bukanlah asnaf yang layak sebagai penerima wang zakat. Dia bukan anak yatim atau fakir miskin apalagi orang kurang upaya bukan juga ibu tunggal atau pun balu tetapi dia yang mengolongkan dirinya sendiri sebagai itu. Pada firasat mata akulah dia adalah golongan kurang usaha atau paling tepat pemalas. Kesihan sungguh aku pada golongan seperti ini. Ish ish.



Bazar Ramadhan Subang Perdana 2009.

Semalam di bazar. Adik gerai satay yang meniaga di sebelah aku membelanja seorang pengemis cilik di kaki lima, air kelapa untuk berbuka puasa. Kerana kelembapan tuan punya gerai air kelapa, dia membayar dan berlalu untuk membeli juadah lain. Sebelum berlalu dia sempat berpesan supaya air kelapa tersebut diberikan kepada si cilik itu. Setelah agak lama, si cilik terkial-kial untuk bangun kerana kehilangan sebelah kakinya dan bergerak meninggalkan bazar. Tiada bungkusan air kelapa di tangannya. Lama aku perhatikan pemilik gerai kelapa tersebut. Sebelum si cilik itu memintas gerai kelapa tersebut aku bertanya dengan keras ” dah bagi air kelapa tadi?” kedua-dua mamat Indon tu terperanjat. Kalut ribut dia membungkus air kelapa dan aku masih tercegat memerhatikan. ”Straw tak bagi?”Aku mulai hangin satu badan, kali ini dia bertambah kalut. Setelah memastikan air kelapa itu sampai dengan selamat ke tangan pengemis cilik itu aku berlalu ke gerai ku semula yang berada tidak jauh dengan gerai kelapa itu. Dari jauh dia bercakap-cakap sesuatu sambil memandang aku. Sah mengumpat lah tu. Kurang ajar sungguh pendatang ini. Kenapalah pendatang ini dibenarkan meniaga di bazar-bazar? Dan mengapa terlalu bodohnya orang kita yang menjual tapak bazar kepada mereka.

Selasa, 8 September 2009

Bukit Beruntung yang tak berapa nak untung.

Dua hari sudah aku sempat menemani Fara balik ke rumah bukit beruntung. Ambil buku akaun Public Bank untuk dikemaskini. Kabarnya dia ingin mengambil kereta perodua VIVA baru. Alhamdulillah, nampaknya makin bertambahlah keluarga aku yang berhutang dengan bank gara-gara inginkan kemudahan sendiri. Tapi kemudahan tu memang perlu pun dalam keadaan sekarang ni.


Sayunya hati melihat keadaan rumah yang dibiarkan kosong begitu. Aku pernah duduk di situ hampir setahun dengan seorang kawan. Sungguh tak sanggup meredah dingin pagi di kala mata masih megantuk. Setelah dikira dengan duit minyak dan masa yang terbuang diatas motor aku akhirnya nekad menyewa dengan kawan-kawan di setapak. Lama juga di situ. Dan akhirnya aku pulang semula ke bukit beruntung itu, tapi kali ini dengan adik-adik ku. Tapi keadaan masih tak berubah, aku masih tak larat menungang motosikal ke tempat kerja oleh itu aku mula menyewa dengan adik-adik di Kampung Subang.

Sekarang sudah hampir dua tahun rumah itu ditinggalkan sendiri. Mahu tidak mahu aku terpaksa tinggalkan ia terus begitu. Aku akan tinggal di situ juga nanti. Ya satu hari nanti yang aku sendiri pun tak pasti. Nampaknya aku dah kena memikirkan cara supaya dalam seminggu ada sehari aku bisa tidur baring di situ.

Lemang yang Panas.


Adik ku, Emi merancang untuk memulakan perniagaan baru bersempena dengan ketibaan syawal ini. Lemang panas beserta rendang ayam. Hmm kalau diusahakan dengan bersungguh-sungguh memanglah menguntungkan. Ditambah pula dengan faktor kebanyakan masyarakat di situ yang agak berusia. Tak perlu bersusah payah memotong buluh dan memanjat kelapa. Berbelanja lah lebih sedikit untuk mendapatkan sebatang dua lemang untuk hidangan hari raya nanti. Tak adalah kempunan sangat.

Aku juga memberikan cadangan benda-benda lain yang boleh membantu menambah pendapatan bersempena dengan ketibaan Aidil Fitri ini. Antaranya:-


1) Ketupat siap anyam/kelongsong - rm 0.30/sebiji
2) Ketupat siap rebus - rm 0.60/sebiji
3) Daun ketupat - rm 6.00/100 keping
4) Rendang ayam/daging - rm 6.00/semangkuk
5) Serunding kelapa & daging - rm 4.00/semangkuk

Sebenarnya macam-macam lagi yang boleh dibuat bukan sekadar itu sahaja. Cuma kemahuan dan kerajinan tanpa jemu. Jangan banyak fikir dan berkalau-kalau. Apa yang ada depan mata terus jalan dan jalan.

Isnin, 7 September 2009

CUTI YANG PANJANG


Cuti Panjang.
Hari ini merupakan hari pertama aku berkerja dalam bulan September. Aduhh malas sungguh aku. Nyaris-nyaris ter'MC' huhuhu. Tapi mengenangkan record kedatangan aku cukup tidak menarik semenjak aku dipaksa berpindah ini, ku gagahi juga.

Si Hijau dah mula jinak.

Alhamdulillah si hijau dah mula berkompromi. Itupun setelah merasuah hampir rm500. Adik aku mulai berani memandunya ke bazar. Jadi selamatlah wira aku kali ini. Tiada lagi lelehan minyak masak dari kuali yang menitis ke lantai bonet. Yekk. Si wira dah dimandikan bersih2 siap dengan vacum sekali. Dan sekarang dah parking dibawah 'porch' elok-elok sahaja. Setiap kali aku nak berlibur dialah yang akan ku bawa. Manakala si hijau untuk menambahkan income sahaja. Huhuhu. Diskriminasi sungguh.


Rindu adik bongsu.

Masuk ini sudah dua tahun berturut-turut aku meninggalkan kenikmatan berbuka bersama emak abah dan adik di kampung. Aku terpaksa berkorban untuk mencari sedikit wang saku raya. Lain sungguh rasanya. Kadang-kadang aku teramat rindu. Hinggakan ke satu tahap aku berbisik sendiri, 'yatim ke aku ni?'. Air mata terpaksalah disimpan dalam-dalam, Ini lah jalan hidup yang aku pilih. Aku boleh sahaja duduk makan gaji seperti biasa, tapi aku tak betah hanya makan gaji yg keluar hujung bulan. Dan secara jujurnya gaji ku tak lah sebesar mana pun. Rindu adik bongsu tahap melampau. Biasanya time sekarang dia dah buat perancangan untuk ke Sg. Besar membeli jeruk, asam segala bagai mengikut warna dan seleranya. Dan tukang bayar dah tentulah si driver ini. Tapi dah dua tahun kebiasaan itu dimungkiri. Biasanya aku tambahkan habuan rayanya sebagai ganti rugi. Dan harga untuk Jeruk dan asam serba manika itu ada driver lain yang tolong bayarkan. Hahaha untung ada adik-adik ramai ni...