Khamis, 10 Disember 2009

PERMAINAN BUDAK KAMPUNG

Dulu masa aku kecik-kecik mana ada internet. Game macam PS1 dan PS2 tu lagilah tak ada. Game budak-budak kampung adalah. SOP aku lepas asar saja, ataupun lepas redup sikit, aku akan keluar bermain di padang kecil yang terletak di belakang rumah aku. Kawan-kawan pula ramai. Bercampur lelaki dan perempuan.



Jangan tak percaya, aku mula main bola dari sekolah TADIKA lagi. Aku main bola padang lagi tau. Bersama team budak lelaki. Biasanya aku GOL KEEPER. Pernahlah aku tergolek-golek menahan senak bila bola yang dirembat deras kena perut. Sebab tu sekarang bila main futsal, seboleh-bolehnya aku mengelak untuk jadi gol keeper. Masih terasa senaknya perut bila terkena bola tu. Fuhhh. Biarlah aku jadi defender sahaja, selamat sikit. Oh ya, Abah ada belikan aku sebijik bola warna hitam putih. Dengan bola itulah yang banyak belajar merembat bola. Perghh



Budak-budak kampung manalah ada duit nak bermodal membeli untuk barang-barang perrmainan. Kalau cakap kat mak. ‘Mak mintak duit nak beli pistol’ haruslah kena bantai nanti. Nak tak nak kenalah kreatif sikit mencipta permainan yang tidak menggunakan modal yang banyak. Menyelongkar tempat pembuangan sampah mencari tin-tin susu untuk main baling tin dengan kawan-kawan adalah perkara biasa. Aku senaraikan diantara permainan budak-budak kampung yang kian dilupakan. Galah panjang, police sentry, baling selipar, congkak tanah dan biji getah, kejar-kejar, ting-ting, rounders, racing upih pinang, sorok-sorok, perang-perang senapang kayu dengan peluru batang ubi dan macam-macam lagilah.


Sekarang kalau terserempak balik dengan kawan-kawan sepermainan masa kecik-kecik dulu, tidak bertegur sapa pun. Senyum lebih kurang terus blah. Segan betul. Kena pulak kawan-kawan aku tu semuanya dah jadi orang, dah berkeluarga. Cuma aku nih saja yang tidak berapa nak jadi orang. Hehe



Kalau bulan puasa lagilah seronok. Lepas terawih di masjid selain meriam buluh, kitaorang main perang-perang dengan mercun. Ganas betul kan. Aku pernah secara tidak sengaja terbaling mercun hingga termasuk dalam kain kakak aku. Apalagi balik tu aku kena belasah dengan Abah. Tak puas hati betul aku masa tu. Aku siap kena kurung diluar rumah lagi. Tapi tak apa masa tu aku berani sikit. Sebab Abah cakap bulan puasa hantu dan syaitan kena rantai. Lama-lama kakak aku yang kaki report tu juga yang buka pintu. Elehh tak takut pun.