Jumaat, 4 Disember 2009

FELDA GEDANGSA DULU-DULU PART I


Felda ini dibuka dalam tahun 1960. Embah(atuk) aku namanya Taiga Sandrakis. Orang selalu panggil dia Wak Tego adalah merupakan antara orang terawal yang datang ke Gedangsa. Dulu dia duduk di Tiram Burok, Kuala Selangor. Banyak tanah kebun dan sawah di Tg. Karang (orang berada lah jugak). Disebabkan Abang dia nih terlalu cintakan JUDI, lepas satu, satu tanah dijual kepada orang untuk berjudi ataupun bila kalah judi, maka tanah-tanah tu habislah semuanya dan papa kedana lah kami. Ada jugak Embah Tego tu cerita(dia tak suka nak cerita hal yang lepas-lepas, terutama yang menyedihkan), masa dia tengah makan tengahari anak beranak, ada orang datang cakap rumah tu dah dijual kepadanya oleh si Kassan Sandrakis dan menyuruh Embah aku sekeluarga keluar jam itu juga. Hampeh je kan.



Masa dan nak gelap tu, Embah aku bawaklah bini dia Embah Wedok(perempuan), Mak aku dan Paman Mingan berjalan kaki tinggalkan rumah tu. Sampailah dia dekat dengan tapak bekas kandang lembu (area situ jugaklah agaknya) orang. Lepas jumpa tuan kandang tu, tinggalah Embah aku empat beranak di kandang lembu yang kemudiannya diubahsuai jadi rumah untuk beberapa ketika sebelum dapat FELDA.


Abah pulak asalnya orang Sungai Haji Dorani, Sungai Besar. Lepas Mak (kami panggil Embah Bendang) kepada Abah meninggal dunia. Embah Bendang (yang lelaki) kawin lain, dengan janda anak tiga. Masa tu Abah pun tiga beradik saja. Wak Sekak, Wak Ton dan Abah. Maka hidup beribu tirilah Abah. Masa itu dia pun kecik lagi belum sekolah. Aku nak bagi tahu korang yang Ibu tiri sekarang dengan Ibu tiri dulu-dulu banyak lainnya tau. Aku tak nak cerita panjang pasal ini, tapi cukup aku katakan disini IBU TIRI DULU-DULU KEJAM. Bapak aku telah dibawak lari oleh kakak dia (Wak Ton) ke Gedangsa selepas berkahwin (kira hadiah perkahwinanlah tu). Hiduplah bapak aku dengan kakak dan abang ipar dia yang kemudian menjadi orang tua dia.



Rumah Wak Ton pun dekat-dekat saja dengan rumah Embah. Tapi bawah sedikit iaitu selang 10 buah rumah. Abah kenal Mak pun sebab selalu nampak Mak balik kerja lalu depan rumah Wak Ton naik trektor. Huhu cinta trektor lah tu ya.


Lepas mak bapak aku kawin, dia dapat masuk FELDA. Felda Gedangsa juga. Rumah Mak atas sedikit saja dari rumah Embah, dekat dengan Pejabat FELDA. Itupun pengurus FELDA yang pilih rumah tu, corner lot. Dia kata senang nak panggil bapak aku kalau duduk dekat dengan Pejabat. (Bapak aku driver trektor FELDA masa tu). Mak aku pulak bekerja menyelengara kebun-kebun getah cth: meracun anak-anak pokok getah yang tak ikut terrace, membaja, meracun anak pokok kayu segala lah. Dari satu bukit ke satu bukit dia panjat. Hebat betul orang dulu-dulu ni. Kalau aku lah, harus aku order motorcross satu! untuk memanjat bukit-bukit tu, huhuhu


Asal FELDA dulu tu HUTAN. Entah jembalang mana yang duduk aku pun tak tahulah. Rumah FELDA dulu-dulu pun kecil saja, rumah satu bilik. Tanah tapak untuk rumah pun cuma suku ekar saja, tapi tanah kebun sembilan ekar. Semua rumah sama saja bersusun-susun. Ada yang diatas bukit, bawah bukit, tepi paya, dekat dengan kebun getah pun ada juga. Semua rumah ada dua batang pokok rambutan di sebelah depan rumah sama ada kiri ataupun kanan dan di bahagian belakang rumah dekat dengan toilet aka JAMBAN (jaraknya lebih kurang 2 meter). Kami di gelarkannya sebagai RAMBUTAN FELDA. Sebut saja kepada anak-anak peneroka Felda mesti dia tahu. Jenis rambutan itu pun bermacam-macam. Di rumah aku buah rambutannya berwarna merah dan lonjong-lonjong tapi tak berapa sedaplah, tapi yang belakang tu memang sedap. Tapi kedua-dua rambutan ini dah tiada. Abah dah tebang. Rumah Embah di belakang masih ada lagi rambutan Felda yang sedap. Kami sengaja tak mahu tebang walaupun pokoknya dah mencapai awan.




Masa aku kecik-kecik (belum sekolah lagi) Gedangsa ni kira daiflah jugak. Mandi dan membasuh pun tepi jalan depan rumah tu saja. Pakai paip pun kongsi-kongsi dengan jiran-jiran. Masa tu jalan pun tanah merah lagi. Jangankan paip menatang JBA pun aku tak tahu lagi. Kakak-kakak aku yang ke sekolah biasanya kalau hujan simpan kasut sekolah dalam beg dan berkaki ayam saja. Nanti kasut kotor dan tapak kasut jadi tebal sebab tanah liat melekat. Kak Ati lebih suka pakai kasut plastik yang berwarna putih tu, sebab senang dibasuh. Bila hendak masuk bilik darjah sempat lagi ke pili membasuh kasut dan membuang tanah liat yang melekat.



Oh ya, trade mark rumah FELDA toiletnya di luar rumah. Jaraknya lebih kurang 50 meter ke belakang (lebih-kuranglah). Kalau nak melepas hajat kena bawa sebaldi air sebab dalam toilet tu tiada paip air pun. Dan kalau perut meragam malam-malam buta, satu rumah terjaga sebab kena paksa menemankan yang nak melepas tu.


Dulu-dulu, Gedangsa tanam getah, tak macam sekarang dah tanam kelapa sawit. Keliling kebun getah tu masih hutan lagi. Ada jugak orang yang menoreh terserempak dengan encik Harimau, Gajah, Beruang, Harimau Bintang, Badak pun ada juga dan yang selalu terserempak ialah sekawanan babi hutan yang hitam tu. Binatang-binatang lain pun ada juga selain pelbagai spesis ular termasuklah encik sawa yang besar. Banyak juga mitos pasal benda-benda pelik tu yang aku pernah dengar. (lain kalilah cerita). Selain itu banyak juga gangguan-gangguan lain. Contoh Antu dan Bunian.



Masa ada kebun getah aku selalu juga dapat makan cendawan kukur. Sedap kalau dibuat masak lemak. Sekarang susah nak dapat dah. Dulu masa aku budak-budak kalau aku berkubang di sungai aku singgah juga cari cendawan kukur untuk dibawa balik. Tak adalah aku kena rotan kalau balik rumah basah-basah. Dulu hidup kami susah. Nak makan kena cari pucuk ubi, *cendawan busut, pucuk paku, cendawan kukur, batang keladi dan lain-lain sayur kampung yang tumbuh liar ditengah kebun getah tu. Dulu abah ada kolam ikan di kebun projek. (sekarang dah jadi dusun durian dan rambutan). Agak-agak nak makan ikan darat aku selalu ikut abah *memancing di kolam tu. Kadang-kadang baru memancing di sungai. Yang selalunya kami makan telur ayam dan *sardin tin saja Ohh agaknya sebab itulah sampai sekarang ini aku suka sangat memancing sampai ke Terengganu pun sanggup lagi tu.


Dulu Abah rajin tanam ubi kayu di keliling rumah. Setakat pokok cili, serai, jagung, kunyit dan yang selalu digunakan untuk memasak tu semua ada di keliling rumah. Tak susah pun. Sekarang saja semua nak berbeli. Paling tidak, sehari kalau nak memasak kena juga membeli paling hampeh pun RM1 beli cili. Betul tak???
...Bersambung
p/s: Sumber gambar dari internet
* membawa maksud favourite aku. Huhuhu