Isnin, 9 November 2009

CERITA DARI KAMPUNG



Beberapa tahun lalu, waktu itu aku masih bekerja di salah satu kilang di Batang Kali. Aku telah memperuntukan gaji pertama yang aku terima itu untuk mak aku. Dan beberapa bulan berikutnya, aku memperuntukan sedikit untuk membeli anak-anak pokok rambutan gula batu (yang berwarna merah tu) adalah dalam empat pokok aku beli. Dua daripadanya aku tanam di rumah Embah sebagai ganti kepada pokok rambutan yang baru mati tu. Aku memilih bucu sebelah kanan bahagian depan rumah dan bahagian tepi dekat dengan bekas pokok bacang di sebalah kiri rumah. Dan yang lagi dua tu dirumah Mak, aku tak ingat aku tanam dimana, yang pasti kedua-duanya mati.



Di rumah Embah pokok yang disebelah kiri tu mati manakala yang disebelah kanan hidup subur dan berbuah hingga ke hari ini. Masa hayat Embah, selagi aku tak balik kampung untuk memetik buah rambutan itu, tiada siapa pun dibenarkan mengambilnya. Aku sebenarnya tak kisah sangat pasal rambutan tu. Asal semua boleh makan dan tidak menyepahkan halaman, aku ok saja.




Semalam sedang aku bersiap-siap untuk ke pasar malam, Rina telefon memberitahu si Umairah berada di wad kecemasan Hospital Slim River kerana diserang sekawan tebuan semasa memetik rambutan di rumah Embah. Wahh pokok rambutan yang itulah.



Menurut ceritanya, sarang tebuan itu jatuh menghempap kepala Umairah. Kerana terlalu sakit Umairah jatuh pengsan. Rina, Mak dan Nurul membawa Umairah ke Hospital. Mak turut membawakan Umairah sedikit rambutan dan nurse memberikan Umairah sebiji rambutan kepadanya ‘takut dia kempunan’. Aku diberitahu yang Umairah tidak sempat memakan rambutan yang diambilnya. Ishh sedih pula aku mendengar. Hingga pagi ini Umairah masih di Hospital ditemani Kak Ida.



IDEA BARU




Aku mula berfikir, keuntungan meniaga di pasar malam yang seminggu sekali itu kurang nampak hasilnya. Bukan tidak berhasil, tetapi kurang nampak. Aku inginkan sesuatu yang lebih. Dan sekiranya mampu, aku ingin sekali memulakan syrikat baru yang menawarkan sesi fotografi bajet untuk semua bakal-bakal pengantin ataupun percutian peribadi agar mereka tetap nampak bergaya walaupun dengan bajet yang sederhana. Aku sebenarnya sudah boring yang teramat dengan cuaca pejabat seperti ini. Syarikat yang menguntungkan kroni-kroni ini boleh menyebabkan aku muntah darah dan cepat tua. Biarlah aku hidup bersusah-susah untuk membangunkan syarikat sendiri.


Kalau aku cerita pada Mak hasrat aku ini, pasti dia akan membantah. Banyak perkara yang dibimbangkan. Aku kena bergerak secara senyap barangkali. Hati orang tua harus dijaga. Aku tidak rela sekiranya tidur malam Mak diganggu kerana memikirkan aku.